
Rasa emosi yang sarat membuatkan Saliwati sedih. Dia teramat pilu mengenangkan perjalanan cintanya yang lurus terbentang tetapi masih belum bertemu penghujungnya. Bayangkan, dia masih terkial-kial mudik ke tepian. Pendayung sudah basah malah hampir patah di tangan. Dia sudah keletihan, tenaganya sudah habis. Dia juga sudah dahaga dengan tekak yang kering kontang! Sedangkan orang lain sudah pun bersorak gembira di hujung sana. Mereka sedang meneguk madu dan sedang menyedut wangi syurga! Jari jemarinya yang kesejukan diramasnya dengan kuat, sekuat semangatnya... Oh, aku tak mahu jadi seperti kiambang, di mana bayu berpuput, kononnya di situ aku berpaut!
Teks ini diambil dari Blog Sri Diah.
Bahagia bagaikan sebutir berlian yang jatuh kelaut. Dan laut itu pula penuh dengan tipu muslihat... ke dasar mana hendak digapai? Ia sama juga dengan trajedi Saliwati ditangkap khalwat dibilik profesornya.
Perkahwinan yang berkecai ditengah perjalan usia ke hari tua antara emak dan bapanya menimbulkan tragedi. Emaknya bernikah dengan lelaki yang lebih muda usianya. Lalu Saliwati terperangkap insiden dicabul bapa tirinya yang bagai singa Afrika mahu menerkam mangsanya.
Zahim kekasih lamanya yang baik budi dan prihatin, berdepan dengan dilema apabila isterinya menyuruh berpoligami. Pekerti santun Silawati telah menjadi galang ganti antara rimbun kasih mereka suami isteri. Dimatanya ada cinta, dihatinya ada setia. Namun Huzairi yang kematian bapa angkara Tsunami terlebih dahulu telah mengumpan cinta Saliwati.
Bagaimanapun wasiat seorang isteri akhirnya telah menghadiahkan gerbang bahagia untuk Zahim dan Saliwati. Apakah Huzairi juga turut menikmati kemuncak janji itu? Jika hak untuk bahagia menjadi milik semua, kasih yang ada biarlah menjadi janji setia bersama...
Aku baru habis menyelusuri Janji Kasih buah tangan Sri Diah(yang telah dikeluarkan dibulan Ramadan yang lepas). Yang terlintas didalam benak ku bila membaca Janji Kasih ini ialah "Keluarga 69"(filem melayu P.Ramlee). Dan seperti novelnya yang sudah-sudah, Sri Diah tetap membawakan cerita realiti yang berpijak dialam nyata.
Jalan ceritanya tidak lah berat sangat, ianya pantas bergerak dan bisa dijangkakan. Gaya bahasanya tetap simple tapi padat dan mudah dicerna.Terdapat dibeberapa bab, bahasanya sedikit melankolik. Mungkin juga untuk mendapatkan hasil yang dramatik.
Sebenarnya ceritanya biasa-biasa saja. Kita selalu disajikan cerita ini dikaca TV dan dimedia cetak. Tapi beliau pintar menambah pelbagai bumbu menjadikan cerita biasa menjadi luar biasa. Dan cukup memberi kita iktibar atas kejadian-kejadian yang di lakarkan.
Watak-watak kontras sengaja dihasilkan untuk pembaca mudah menilai buruk baiknya.. Konflik jiwa yang pelabagai. Kecewa dan dendam kesumat yang membawa padah.
Untuk memberi kelainan cerita ini Sri Diah cuba mengenalkan kepada kita satu penyakit yang jarang kita ambil peduli atau langsung kita tidak sedari akan keujudannya; Sindrom Menopause. Tapi sayang watak Puan Junaidah(yang mengalami Sindrom Menopause) ini dibuang dipertengahan cerita. Dengan mengolah satu tragedi yang menggerunkan dan meranggut nyawa watak tersebut. Jika Sri Diah mengupas lebih dalam watak ini aku mungkin lebih terkesan dengan tuntutan Janji Kasih ini. Kerna aku percaya Sri Diah boleh membuat yang lebih baik. Sebagaimana dia berjaya membuat watak Hanim Hanani dalam Selamat Malam Tan Sri. Atau yang lebih dekat lagi dengan watak Saliwati dalam Janji Kasih ini.
Sri Diah juga berjaya menyisisipkan satu kejadian yang tak mungkin akan dapat kita lupakan; tragedi ombak besar(Tsunami). Digarap begitu rupa hingga kita tak perasan yang sebenarnya Sri Diah ingin menyampaikan info semasa. Begitu juga info kesihatan iaitu Sindrom Menopause. Tidak ketinggalan juga petua orang tua-tua yang berfaedah untuk kita praktikan..
Dan satu yang paling ketara disini, bumbu panas Sri Diah kali ini cuba diminimalkan. Dan aku tidak lagi risau bilamana novel ini akan jatuh ketangan anak bujang atau anak dara sunti ku yang sudah sudah pandai mencuribaca novel-novel koleksi ku..
~Sekapur sireh~
N3 diatas ini sudah beberapa hari tersimpan didalam savedraft ku, disebabkan tuntutan kerja yang meminta 100% komitmen ku. Ditambah lagi urusan rumah tangga yang tak pernah sepi, membuatkan aku melupakannya sementara waktu. Kerja berkat, duit gaji lekat. Betul tak Kak Sri???
Dan akhirnya ku hadiahkan sekalung tahniah kepada Sri Diah, kerna berjaya membawa aku masuk kedalam watak Saliwati, Ayumi, Zahim, Delly, Rohaizat dan Huzairi. Hinggakan bangun dari tidur esok paginya, mata ku masih lagi sembap dik terikut menuntut Janji Kasih. Dan aku terpaksa mengikut petua Janji Kasih menyimpan bekas tea bag diatas kelopak mata ku.
KERANA KITA
Dedikasi untuk suamiku, Zahim.
Kerana dia telah ku panggil suami;
Masa lalu tenggelam bersama bulan
bersama matahari
Masa depan adalah hidangan
kasih nan luas tak terperi
Entah hiba, entah ceria,
entah tak ada, ia misteri
Kerana aku telah dipanggil isteri;
Nescaya kusongsong hari dengan erti
Kentalnya semangat, mimpi bukan ilusi
Mercu cinta ini tidak lunyai menemani hari
Perkahwinan adalah kota maaf
gerbangnya setia
Simpanlah aib kerana ia adalah rahsia
Sanggulkan wangi jujur pada hati
kutiplah bunga damai disisi hari
Dalam belantara cinta yang menyala
Perkahwinan ini anugerah
Kita terus melangkah tanpa curiga malah siaga
Menyandang restu-MU Illahi, Rabbul Izzati
Kerana kita;
Suami adalah nafas hidup
Isteri adalah nadi jiwa
~Janji Kasih/Sri Diah~