Novel keenam NOOR SURAYA membawa anda menemani Nuha menaiki Ekspres Langkawi ke utara. Perjalanan kereta api pada malam dingin penghujung tahun 2005 telah menemukan Nuha Tajul Ariffin dengan Alang Rebus Tak Empuk. Nuha memang tidak menyukai lelaki berambut Afro itu sejak mula! Titik! Alang juga tidak menyenangi Nuha yang garang mengalahkan anak gergasi itu sejak awal. Titik! Padahal hidup ini rupa-rupanya tidak pernah ada 'titik' sebelum tiba waktunya. Hidup adalah suatu perjalanan waktu!
~~~~~~~~~
Surat
Ungu Untuk Nuha telah mengeluarkan penulisnya dari kepompong bahasa 'Gemersik' Noor Suraya Al-Adanan. Bahasa basah dan sempoi yang belum pernah dibuat sebelumnya begitu mencuit hati ku. Percubaan yang mengkagumkan.
Aku suka cara dia membangunkan watak-watak didalam SUUN ini. Bersahaja. Lucu. Dan dinamis. Bibir ku asyik tersungging senyum saja bila membaca pada pertemuan awal Alang-Nuha itu. Suasana di kampong yang riuh ceria digambarkan begitu hidup sekali. Seperti aku jua turut sama bermain.
Adengan-adengan lucu dan sedih Nuha dianyam penuh bersahaja. Namun cukup menggeletek hati ku. Yang paling tak dapat menahan tawa ku dari pecah terburai; saat Nuha membalas dendam pada Alang dengan menjahit tangan Alang tanpa ubat bius. Nakalnya Nuha. Kesiannya Alang. Dua-dua jadi mangsa keadaan.
Di saat Alang kehilangan nikmat penglihatannya, rasa pilu itu disampaikan penulis dengan suasana yang syahdu sekali. Sehingga aku yang tadinya tergelak tak cukup mulut jadi sendu, sesendu-sendunya.Tetapi bahasanya tidaklah terlalu melankolik seperti novel-novel beliau sebelumnya.
Melihat telatah Alang yang protektif mengingatkan aku pada seseorang. Nuha yang keras karak nasi itu cair jua akhirnya dengan siraman kuah cinta Alang rebus tak empuk itu.
Di bahagian akhir novelnya ini membuatkan aku berfikir dan terus berfikir. Qada dan Qadar Tuhan mengatasi segalanya. Pertemuan dua beranak yang tidak disangkakan. Akhirnya Alang bertemu ayah kandungnya yang di saat maut datang menjemput ayahnya. Raja Kamariah yang pasrah pada ketentuan Tuhan dengan cantiknya menghalau memori silam bersama bekas suaminya yang meninggalkan satu waktu dulu.
Anugerah Illahi yang telah membutakan hati sepasang suami isteri yang baru mendapatkan cahayamata pertama. Walau ilmu agama penuh didada namun masih alpa pada qada dan qadar Tuhan yang di anugerahkanNYA. Airmata ku jatuh berjurai. Rasa amarah dan benci ku pada watak Engku Faisal dan isterinya Dr Raniya Wafa yang membuang darah dagingnya sendiri hanya kerana bayi itu tidak sempurna sifatnya. Subhanallah. Maha pengasih Tuhan yang menjadikan sekian alam.
Di bawah ini ku kongsi bersama adengan-adengan yang tidak dapat menahan mulut ku dari terus ketawa tak cukup mulut;
Nota: Teks diambil dari e-novel SUUN
Adengan I
Apalah malangnya nasib hari ini, semalam sudah 'sekereta-api' dengan dia... hari ini terserempak lagi dengan lelaki berambut sarang tebuan ni.
Muzzamil pura-pura tidak perasan Nuha di belakang.
"Hang dah gheja ka, Mil?"
"Dak. Tak dapat lagi... ingat nak balik duduk kampung sat. Tolong abah buat bendang dulu lah, kot."
Nak dapat kerja macam mana kalau rambut pun tak pernah bersikat macam tu. Entah ada berapa batalion kutu practise perang-perang dalam rambut tu, dia sendiri pun tidak sedar langsung. Nuha memerhati rambut tu semula. Besar seperti topi helmet angkasawan ke marikh sahaja. Hapak, sahlah dah lama tidak bersyampu ni. Fesyen macam ni dah tak dibuat orang... zaman Alleycats, zaman Boney M... bolehlah. Bau rambutnya itu sudah tercetak di blaus baju Nuha sejak semalam. Mananya tidak... bila kepala lelaki gatal itu dengan beraninya melintuk di bahunya sampai dua kali; tanpa warning.
~~~~~~~
Adengan II
"Nuha, mai sini... apa yang awak buat ni? Cuba rasa sayur ni... rasa... sayur ke serawa ni?"
"Serawa?" Nuha buat-buat innocent macam anak kucing jatuh dalam abu.
"Pengat... sayur lemak kacang apa ni, manis melecas dan bubuh daun pandan pula."
"Oh, orang tak bubuh gula dan daun pandan buat sayur lemak kacang panjang ya?" Nuha pura-pura terkejut pula.
"Awak ingat ni bubur Asyura ke? Sengaja ya? Sengaja nak cari fasal dengan saya... ikan ni ada ke goreng sampai hangus hitam macam ni, kucing pun tak lalu nak makan, tahu."
"Ia?"
"Gulainya pula masinnya... awak nak bunuh saya, Nuha?"
Kalau nak bunuh dengan masinnya garam lambat sikit kesannya, senang lagi beri racun tikus. Nuha tertawa dalam hati. Sejak semalam dia tak habis-habis menyakat aku, sekarang rasakan lah! Dia ingat aku ni, perempuan yang tiada perasaan ke? Dia ingatkan hanya dia seorang sahaja di dunia ini yang berjiwa seniman, gamaknya? Selama ini hanya dia sahaja yang ada sensitiviti... aku ni sebagai manusia biasa, tak ada rasa sebegitu... rasa sebagai seorang seniman? Banyaklah awak punya seniman, Cik Muzzamil! Hati Nuha mencemuh.
~~~~~~~
Adengan III
Alang menghulurkan tangannya. Nuha mula menjahit. Dia memandang muka Alang. Oh, takut ya? Setiap kali mata jarum dan benang terkena isi itu, setiap kali itulah dia membilang di dalam hati.
¥ Jahitan pertama ini kerana; Alang pandai-pandai menukar warna Kelisanya menjadi perak metalik.
¥ Jahitan kedua ini kerana; Alang pandai-pandai aja perkenalkan Faisal dengan Raniya.
¥ Jahitan ketiga ini kerana; Alang mengambil tips sampai RM100 ringgit dan aku terpaksa mengikat perut untuk makan sampai cukup dapat gaji.
¥ Jahitan keempat ni kerana; Alang menipu dan menyamar sebagai polis di simpang depan tu... dan roadblock; Alang kan tahu aku tidak ada lesen, dia cuba menakut-nakutkan aku... bencinya!
Nuha melihat semula wajah Alang yang sedang menahan sakit dan pedih tu semula. Dia jadi kasihan juga, tetapi rasa TIDAK kesian tu lebih banyak; rupa-rupanya.
….
Jahitan yang kelima... masih belum selesai. Dengan kekoknya, Alang memotong benang yang masih bersambung dengan jarum itu dengan tangan kanannya. Dia segera berlalu pergi: tanpa ucapan terima kasih. Nuha belum lagi menjahit luka hatinya yang kelima. Marlia dan Badli saling berpandangan.
Sejak itu, dia tidak pernah nampak Alang untuk beberapa hari.
~~~~~~~
~Sekapur Sirih~
Walaupun SUUN ini telah awal di lahirkan di alam maya, iaitu sebuah e-novel di weblog http://noorsoraya.blogdrive.com yang bertema 'Buat Menyapu si Ayer Mata'. Disanalah tempat si penulis meraut penanya bersama tetamu-tetamu yang tidak kenal siapa. Di situ lah juga aku bertengek mengintai tulisannya hari demi hari sehingga usai kiriman surat ungu untuk Nuha itu.
Namun masih ada X-Factor yang membuat aku ingin membaca lagi di versi 'carbon-copy'. Memang aura membaca di kedua-dua media itu punya rasa yang berbeza. Ditambah lagi dengan adengan-adengan '3T'(Tinggal Tanda Tanya) yang membuatkan aku tidak mahu meletakkannya hingga ke titik akhir.
Pada perspektif yang lain pula aku dapat melihat penulis cuba berdakwah dengan cara yang manis didalam tulisannya itu. Mesejnya jelas. Nasihatnya lembut meresap ke jiwa. Inilah faktor kenapa aku suka sangat hasil pena Noor Suraya Al-Adnan.
Akhirnya ingin ku rakamkan setinggi terima kasih ku atas titipan Surat Ungu Untuk Nuha untuk ku membelek diri yang serba kekurangan ini.