Bahan A
1 paket spageti
2 keping asam keping(asam geluggur)
1 biji kelapa (ambil santan 7 cawan)
1 ½ sudu kerisik
25g rempah kari ikan
4 sudu besar minyak (untuk menumis)
Daun kesum
Bunga kantan
Bahan B ( direbus dan dikisar - asingkan)
500g ikan kembung
200g udang basah
20g ikan kurau - di bakar
100g udang kering – di kisar
Bahan C (dikisar)
6 ulas bawang merah
10 tangkai cili kering
5cm halia
5cm lengkuas
3 ulas bawang putih
1 sudu besar ketumbar
½ s.b jintan putih
½ s.b jintan manis
2 batang serai – diketuk
Bahan D (ulam)
4 biji limau kasturi di belah 2
4 batang kacang panjang
1 biji timun diracik halus
200g tauge segar
1 labu bawang besar dimayang
3-5 biji lada merah/hijau dihiris halus
20 helai daun selasih diracik halus
Bahan E (sambal belacan)
Lada merah – 5 biji
Belacan – di bakar
Bawang merah
Bawang putih di bakar
Jus limau nipis
Sedikit garam dan gula
1. Panaskan minyak dalam kuali
2. Tumis bahan C sehingga garing
3. Masukkan serbuk kari, santan dan Bahan B.
4. Masukkan kerisik dan asam keeping. Tambahkan garam dan gula secukup rasa.
5. Biarkan mendidih sehingga naik minyak. Jika terlalu pekat tambahkan air.
6. Akhir sekali, masukkan daun kesum dan bunga kantan. Tutup api dapur.
7. Rebus spageti dan tambah satu sudu besar minyak supaya tidak melekit. Kemudian toskan.
8. Untuk sambal belacan, tumbuk atau kisar semua bahan E.

Kata orang benci itu biarlah berpada, jangan nanti benci berganti rindu pula!
Kata orang lagi jiran sepakat membawa berkat!
Inilah sebuah kisah... tentang jiran di sebelah rumah....
|
Rumah No. 11 |
Rumah No. 9 |
|
Dia gadis kampung yang bekerja sebagai juruwang di sebuah bank di ibu kota. Wajahnya menarik, ramai yang tertarik. Dia hanya berbudi pada yang pandai berbahasa... tetapi pada jiran sebelah rumahnya, jauh panggang dari api. |
Dia lelaki yang punya gaya tidak mudah terpedaya. Setiap tahun menambah usia tanpa sempat mengira. Kadang-kadang selamba, kadang-kadang tak terduga. Prinsipnya jelas: orang sebelah rumah tidak harus diberi hati. |
|
|
|
Pendapat mereka saling bertentangan, pergaduhan tiada garis sempadan, terjilid dalam pelbagai episod:
* Kereta Perdana vs Kereta Kancil
* Kucing si bujang mengemis makan di rumah si dara
* Sepatu biru gadis pencetus idea nakal si teruna
* Muzik si pemuda bukan selera si pemudi
Namun tiba-tiba ribut berhenti, hujan reda, pelangi sujud kaki langit... ada rasa yang mengocak perasaan. Ada cinta yang bertunas, ada kasih yang tumbuh dan ada sayang yang menjalar.
Kenapa? Siapa? Dan bagaimana?
~Sekapur Sirih~
Laksa Johor Masyimalo adalah hidangan pengikat kasih antara MrLapOk dan masyimalo_8271 dalam novel kedua Ruby Hazri yang berjudul KOPI SUSU SEPATU BIRU. Sebenarnya novel ini sudah lama dalam simpanan ku. Kerja wajib yang menggunung menutup deria 'rasa' untuk ku mengulit. Beberapa kali ku baca barisan ayat muka pertama masih belum dapat membangkitkan 'rasa' untuk ku menyelusuri. Ku selak lagi lembar kedua ketiga hingga ketujuh. Pun tiada ada yang dapat mengikat ku. Lalu novel itu ku pinjamkan pada teman sekantor yang punya hobi yang serupa dengan ku; membaca. Selepas tiga hari, dia kembalikan novel itu dengan senyuman yang meleret. "Nah! Cuba baca dari tengah. Cali(lucu)". Ku selak beberapa muka surat di bab 2, pun masih tiada 'rasa'. Buku itu ku simpan kembali tanpa mengikuti saranannya.
Memang bukan sifat ku membaca sesuatu novel dengan lompat katak atau berenang kuak lintang. Jadi buku itu ku pinjamkan lagi pada cik antu 'ITU'. Masa terus berlalu dengan kerja wajib ku yang tak pernah usai.
Sehinggalah pada subuh isnin... Usai solat subuh bang Mat sudah terebang dengan mata belalang ke Seria. Aku mengemas ruang tamu yang masih berantakkan selepas kelas dekorasi kakmOn petang ahad semalam. Dalam aku mengemaskan buku-buku dan majalah-majalah yang bersepah tiba-tiba aku ternampak novel itu lagi. Ku tarik keluar novel itu, selak lagi dan terus membaca semula dari halaman pertama.. keempat.. kesepuluh.. hingga aku terlajak jauh. Leyinah datang mengejutkan aku.. Uwaaaa jam sudah menunjukkan pukul 7:20 pagi. Aku sudah terlambat.
Dalam perjalanan aku sambung membaca balik.. Yeyeyeyeyeh MrLapOk si Ruby ini telah berjaya mengembalikan 'rasa' ku yang telah lama hilang itu. Terimakasih Ruby. Sesungguhnya buah tangan Ruby yang kedua ini benar-benar membuatkan aku asyik tersenyum panjang hingga ke telinga. Memang adengan-adengan yang lucu dicetuskan Ruby ini mengeletek hati.
Walau ceritanya tersangkut-sangkut di bab 46 – 47 namun percubaan berani Ruby menulis adengan rompakan itu patut di beri pujian. Ruby hanya perlu membuat sedikit homework untuk menulis aksi-aksi rompakan yang lebih 'real' dan mendebarkan. Begitu juga suasana kerja di dalam bank itu, nampak lenggang dan sunyi.
Di harap satu waktu nanti Ruby bisa menulis cerita thriller pula. Memang tidak rugi novel romantik-komedi Ruby ini dibuat koleksi. Didalamnya terdapat berbagai rasa seperti makan Laksa Johor itu juga. Syabas Ruby dan terimakasih mengongsikan resepi Laksa Johor Masyimalo yang tak boleh lelap malam ini 